Fenomena Sinema Malaysia: Kemana halatuju pembangunan negara?

2 dan 3 beberapa hari yang lalu, saya mengumumkan status ‘hiatus’ kerana kerenah kerja dan manusia yang mencengkam, semakin menghiris, dan terus membarah dalam diri seterusnya memaksa saya lari sebentar untuk membersihkan hati sendiri. Ya, tidak lama saya kembali sebentar disini kerana terlalu marah dengan fenomena sinema Malaysia yang semakin memualkan.

REMAJA MALAYSIA VS REMAJA PALESTIN

Mahu melihat masa depan sesuatu negara itu lihatlah pada remajanya

Begitu terungkap kerana realiti pembangunan suatu Negara itu bakal diwariskan kepada para remaja. Malah tampuk pemerintahan di institusi pengajian tinggi juga terkendong oleh para perwakilan yang berstatus remaja. Memikirkan ini, saya terlalu bangga dengan para remaja Palestin yang tiada tara banding semangatnya melontar batunya demi melawan angkara zionis yang bersenjatakan kereta kebal dan mesingun nya. Jihad Islamnya terpancar kemas dan membara walau dalam keadaan huru hara yang menghimpit.

Namun, saya begitu terkesan kesedihan tatkala membaca kisah para remaja Malaysia yang semakin menimbus Islam di dasar bumi paling bawah walau diberi ruang keselesaan yang meluas untuk mempertegak ajaran Islam.

Permainan 7 sins bernilai RM5

Begitu tajuk berita yang menyingkap suatu permainan komputer di cybercafé dan pelbagai pusat permaianan di ibu kota yang semakin terkenal dan ‘dekat dihati’ para remaja kita. Secara ringkas buat yang tidak membaca, permainan 7sins ini merupakan permainan berkomputer dimana pemain harus melakukan 7 dosa di dalam islam termasuk minum arak dan zina. Dan bagi yang ‘berjaya’ melakukannya, maka hadiahnya adalah tayangan tubuh wanita, satu persatu sehingga apabila 7sins terlaksana, maka keseluruhan anggota termasuk alat sulit dihidangkan kepada ‘pemenang’.  Permainan itu hanya berharga RM5 (CDnya) yang mana sudah tentu mampu dimiliki oleh sesiapa walau orang susah sekalipun.

Mengurut kepala yang kepeningan dihambat permasalahan pembelajaran sudah biasa bagi saya, namun kali ini terasa mahu sahaja membelah otak sendiri yang semakin berat saat menatap berita para remaja Malaysia kini. Oh, sahabat sebangsa ku sendiri.

Saya jadi teringat zaman ‘remaja’ dahulu yang tergilakan siri permainan komputer bercorak penyiasatan seperti CSI, Death on Niles dan sebagainya juga siri permainan menyusun kata seperti Roda Impian namun dalam versi Inggeris iaitu Wheel of Fortune (oh ini paling saya suka). Permainan inilah yang membina kreativiti berfikir sehingga kita mampu menjadi kritis dan bersemangat untuk mengungkap ilmu itu satu persatu.

Dewasa kini, itulah hidangan minda para remaja kita. Era remaja internet dan cybercafé. Melewati cybercafé dikampung saya sudah cukup membuak rasa mahu sahaja ‘menelan’ dan ‘menghadam’ para pengusaha yang ‘membiarkan’ kanak-kanak dan remaja pewaris negera ini bermain permainan yang entah dimana nilai ilmunya. Geram dan marah. Dan semakin parah apabila seks dan wanita menjadi wadah kepada pembangunan ‘ilmu’ mereka.

Menakutkan.

SINEMA POLITIK YANG MERESAHKAN

Sedang anak bangsamu ‘berjuang’ dalam permainan yang membentuk fahaman kotor dari benar mereka, para pemegang politik Negara masih leka bermain dengan pelbagai acara di arena mereka. Semakin menakutkan saya apabila mereka telah masuk ke negeri yang saya cintai. Membuat pemerhatian kejatuhan anak-anak darul ridzuan, menjadikan saya semakin marah apabila para penggiat politik masuk dengan agenda dewasa mereka dengan menambah permainan kotor yang dengan tidak segan silu dipamerkan di depan negeri beraja ini.

Saya tahu, adik-adik senegeri semakin keliru lalu memilih ‘games’ sebagai tempat untuk melarikan diri dari permainan para dewasa. Tidak sedarkah orang dewasa? Sedang sepatutnya kitalah bangun membersih negeri dengan aliran pemikiran agama yang syumul bukanlah bermain dengan kekotoran mazmumah yang menjelikkan. Para remaja sedang memberontak jiwanya dalam proses mematangkan jiwanya salah satu tranformasi pemikiran kepada dewasa. Namun, apa telah kita lakukan?

Berpolitik untuk menang? Maka anda sebenarnya kalah dalam etika siasah Islam. Jika and berpolitik untuk berusaha menegakkan Islam, hatta kalah sekalipun tetap dikira menang dalam perjuangan menegak Islam.

Memetik dari buku Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir atau kurang Zikir

Yang penting dalam apa jua keadaan, samada dalam urusan politik umum atau politik kepartian, kita hendak terikat dengan ajaran Islam Islam. Politik adalah alat, manakala Islam itu adalah matlamat. Oleh itu apa jua persolan dalam politik mestilah ditujukkan dan tunduk kepada akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Mana-mana pihak (samada individu atau kumpulan) yang berjaya mempertahankan prinsip ini tetap dianggap menang sekalipun kalah dalam pilihanraya.

Prinsip Machiavelli tidak seharusnya dibiarkan mendominasi senario politik Tanah Air. Islam tidak boleh terus menjadi semacam ‘bahan komoditi’ yang menjadi alat politik semata-mata. Kita tidak boleh melanggar nilai-nilai Islam dengan alasan untuk menegakkan Islam. ‘Orang politik’ tidak sewajarnya lagi dilihat hanya sebagai individu aktif dalam sebuah parti yang merayu rakyat menyokong partinya agar dia sendiri mempunyai tempat dan kedudukan dalam parti tersebut. Sebaliknya, dia wajar dilihat sebagai individu yang dapat membawa diri, rakyat dan negaranya menerusi bidang politik untuk mencapai kebaikan dunia dan akhirat.

Inilah yang telah berlaku semasa pemerintahan Khalifah Uthman ra dan Khlaifah Ali. Walaupun keadaan politik di pusat pemerintahan mereka bergolak, namun dakwah, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, ilmu dan empayar Islam terus berkembang ke seluruh dunia. Sesungguhnya, persaingan dalam arus ‘politik yang diIslamkan’, tidak akan menghalang perkembangan Islam sekalipun terjadi perselisihan. Justeru, persaingan kerana berbeza pandangan atas matlamat yang sama - (the same difference) adalah suatu yang akan memberi manfaat kepada ummah. Sebaliknya persaingan dalam arus ‘Islam yang dipolitikkan’ akan memudaratkan ummah justeru perbezaan itu adalah disebabkan oleh matlamat yang telah berbeza. Renungilah hakikat ini. Mungkin renungan itu nanti boleh mendinginkan sedikit suasana politik yang kian membahang ini…

DIRGAHAYU TUANKU

Sistem beraja di Malaysia tidak dapat dinafikan hak dan kedaulatannya. Walau hampir keseluruhan corak di ukir oleh kepolitikan parti pelbagai di Malaysia.

Seperti kes di negeri darul ridzuan kesayangku, keputusan terletak kepada Sultan dan sekali lagi Sultan yang terkenal dengan prinsip dan bijaknya mempertahan keadilan dalam pembentukan kerajaan. Lalu biarkan dan hormatilah keputusan raja dan jangan sesekali memandai-mandai dengan keputusan sendiri.

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa- selagi mana mereka taat kepada Allah dan Rasul. Jika mereka tidak lagi taat kepada Allah dan Rasul maka tidaklah kamu perlu taat kepada mereka) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

Surah An-Nisa’; 59

Oh saya tidak mahu mengulas ini lanjut.

JAGA ANAK BANGSA KITA

Apapun saya memandang semua pihak memainkan peranan dalam menjaga anak bangsa kita.

Setiap kamu ini bertindak sebagai penjaga-penjaga penjuru agamamu

Hadith yang saya tidak tahu perawi dan sanadnya itu sangat terkesan dihati saya. Saat Kak E menyebut dalam usrahnya saya terfikir akan walau sekecil mana usaha kita, maka itu bermakna kita tetap menjaga  bahagian penjuru yang di amanahkan kepada kita.

Penulis, pelukis, penyair, penyanyi, doktor, doktor falsafah, pemegang ijazah, diploma, sijil, nelayan hatta penyapu sampah sekalipun punya tugas dalam pembangunan bangsa dan anak bangsa dan agama Islam khasnya. Hanya perlu faham dengan membawa tugas kita dalam iringan syariat agama adalah terpenting dalam memacu akidah dan daulah agama.

Pasanglah kekuda kita semua dalam menggempur ‘musuh-musuh’ dalam perjuangan yang penghujungnya semakin hampir ini. Jangan sesekali merendah diri atau merendahkan usaha orang lain kerana setiap usaha itu pasti punya impak yang besar jika agama  dijadikan sebagai tunjang perjuangannya.

Jangan kau meperlekehkan kebaikan saudaramu walaupun dengan sebuah senyuman kepada sahabatnya

Wallahua’am

p/s: Fenomena sinema politik perak kini diracuni agenda tersorok oleh pemain politik tanah air. Saya tidak menyalahkan atau menyokong sesiapa. Kerana saya tahu, saat ini ALLAH swt sebenarnya menguji keyakinan kita kepadaNYA, sejauh mana kita menerima qada’ dan qadar ALLAH tanpa sedikit pun mencalari aqidah dan akhlak kita. Dan tentunya menguji para pemimpin yang memegang tampuk pemerintahan kepada sejauh mana mereka berjuang kerana agama dan daulah Islam. Sejauh mana mujahadah manusia menuju mardhatillah. Saya anak jati perak, ibu ayah saya lahir di perak, datuk dan nenek saya membanting tulang di Perak, sudah cukup membuktikan bahawa kecintaan saya kepada negeri darul ridzuan ini terlalu besar. Lalu, saya gantungkan keyakinan keatas kesemua hakikat kepada pemilik sebenar tanah tumpah saya ini, ALLAH swt.

Dan saya hanya yakin kepada yang SATU ini! ALLAHuakbar, segalanya milik Mu

artikel asal tulisan saya di sini

0 Responses to “Fenomena Sinema Malaysia: Kemana halatuju pembangunan negara?”


  1. No Comments

Leave a Reply