Archive for February 25th, 2009

Fenomena Sinema Malaysia: Kemana halatuju pembangunan negara?

2 dan 3 beberapa hari yang lalu, saya mengumumkan status ‘hiatus’ kerana kerenah kerja dan manusia yang mencengkam, semakin menghiris, dan terus membarah dalam diri seterusnya memaksa saya lari sebentar untuk membersihkan hati sendiri. Ya, tidak lama saya kembali sebentar disini kerana terlalu marah dengan fenomena sinema Malaysia yang semakin memualkan.

REMAJA MALAYSIA VS REMAJA PALESTIN

Mahu melihat masa depan sesuatu negara itu lihatlah pada remajanya

Begitu terungkap kerana realiti pembangunan suatu Negara itu bakal diwariskan kepada para remaja. Malah tampuk pemerintahan di institusi pengajian tinggi juga terkendong oleh para perwakilan yang berstatus remaja. Memikirkan ini, saya terlalu bangga dengan para remaja Palestin yang tiada tara banding semangatnya melontar batunya demi melawan angkara zionis yang bersenjatakan kereta kebal dan mesingun nya. Jihad Islamnya terpancar kemas dan membara walau dalam keadaan huru hara yang menghimpit.

Namun, saya begitu terkesan kesedihan tatkala membaca kisah para remaja Malaysia yang semakin menimbus Islam di dasar bumi paling bawah walau diberi ruang keselesaan yang meluas untuk mempertegak ajaran Islam.

Permainan 7 sins bernilai RM5

Begitu tajuk berita yang menyingkap suatu permainan komputer di cybercafé dan pelbagai pusat permaianan di ibu kota yang semakin terkenal dan ‘dekat dihati’ para remaja kita. Secara ringkas buat yang tidak membaca, permainan 7sins ini merupakan permainan berkomputer dimana pemain harus melakukan 7 dosa di dalam islam termasuk minum arak dan zina. Dan bagi yang ‘berjaya’ melakukannya, maka hadiahnya adalah tayangan tubuh wanita, satu persatu sehingga apabila 7sins terlaksana, maka keseluruhan anggota termasuk alat sulit dihidangkan kepada ‘pemenang’.  Permainan itu hanya berharga RM5 (CDnya) yang mana sudah tentu mampu dimiliki oleh sesiapa walau orang susah sekalipun.

Mengurut kepala yang kepeningan dihambat permasalahan pembelajaran sudah biasa bagi saya, namun kali ini terasa mahu sahaja membelah otak sendiri yang semakin berat saat menatap berita para remaja Malaysia kini. Oh, sahabat sebangsa ku sendiri.

Saya jadi teringat zaman ‘remaja’ dahulu yang tergilakan siri permainan komputer bercorak penyiasatan seperti CSI, Death on Niles dan sebagainya juga siri permainan menyusun kata seperti Roda Impian namun dalam versi Inggeris iaitu Wheel of Fortune (oh ini paling saya suka). Permainan inilah yang membina kreativiti berfikir sehingga kita mampu menjadi kritis dan bersemangat untuk mengungkap ilmu itu satu persatu.

Dewasa kini, itulah hidangan minda para remaja kita. Era remaja internet dan cybercafé. Melewati cybercafé dikampung saya sudah cukup membuak rasa mahu sahaja ‘menelan’ dan ‘menghadam’ para pengusaha yang ‘membiarkan’ kanak-kanak dan remaja pewaris negera ini bermain permainan yang entah dimana nilai ilmunya. Geram dan marah. Dan semakin parah apabila seks dan wanita menjadi wadah kepada pembangunan ‘ilmu’ mereka.

Menakutkan.

SINEMA POLITIK YANG MERESAHKAN

Sedang anak bangsamu ‘berjuang’ dalam permainan yang membentuk fahaman kotor dari benar mereka, para pemegang politik Negara masih leka bermain dengan pelbagai acara di arena mereka. Semakin menakutkan saya apabila mereka telah masuk ke negeri yang saya cintai. Membuat pemerhatian kejatuhan anak-anak darul ridzuan, menjadikan saya semakin marah apabila para penggiat politik masuk dengan agenda dewasa mereka dengan menambah permainan kotor yang dengan tidak segan silu dipamerkan di depan negeri beraja ini.

Saya tahu, adik-adik senegeri semakin keliru lalu memilih ‘games’ sebagai tempat untuk melarikan diri dari permainan para dewasa. Tidak sedarkah orang dewasa? Sedang sepatutnya kitalah bangun membersih negeri dengan aliran pemikiran agama yang syumul bukanlah bermain dengan kekotoran mazmumah yang menjelikkan. Para remaja sedang memberontak jiwanya dalam proses mematangkan jiwanya salah satu tranformasi pemikiran kepada dewasa. Namun, apa telah kita lakukan?

Berpolitik untuk menang? Maka anda sebenarnya kalah dalam etika siasah Islam. Jika and berpolitik untuk berusaha menegakkan Islam, hatta kalah sekalipun tetap dikira menang dalam perjuangan menegak Islam.

Memetik dari buku Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir atau kurang Zikir

Yang penting dalam apa jua keadaan, samada dalam urusan politik umum atau politik kepartian, kita hendak terikat dengan ajaran Islam Islam. Politik adalah alat, manakala Islam itu adalah matlamat. Oleh itu apa jua persolan dalam politik mestilah ditujukkan dan tunduk kepada akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Mana-mana pihak (samada individu atau kumpulan) yang berjaya mempertahankan prinsip ini tetap dianggap menang sekalipun kalah dalam pilihanraya.

Prinsip Machiavelli tidak seharusnya dibiarkan mendominasi senario politik Tanah Air. Islam tidak boleh terus menjadi semacam ‘bahan komoditi’ yang menjadi alat politik semata-mata. Kita tidak boleh melanggar nilai-nilai Islam dengan alasan untuk menegakkan Islam. ‘Orang politik’ tidak sewajarnya lagi dilihat hanya sebagai individu aktif dalam sebuah parti yang merayu rakyat menyokong partinya agar dia sendiri mempunyai tempat dan kedudukan dalam parti tersebut. Sebaliknya, dia wajar dilihat sebagai individu yang dapat membawa diri, rakyat dan negaranya menerusi bidang politik untuk mencapai kebaikan dunia dan akhirat.

Inilah yang telah berlaku semasa pemerintahan Khalifah Uthman ra dan Khlaifah Ali. Walaupun keadaan politik di pusat pemerintahan mereka bergolak, namun dakwah, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, ilmu dan empayar Islam terus berkembang ke seluruh dunia. Sesungguhnya, persaingan dalam arus ‘politik yang diIslamkan’, tidak akan menghalang perkembangan Islam sekalipun terjadi perselisihan. Justeru, persaingan kerana berbeza pandangan atas matlamat yang sama - (the same difference) adalah suatu yang akan memberi manfaat kepada ummah. Sebaliknya persaingan dalam arus ‘Islam yang dipolitikkan’ akan memudaratkan ummah justeru perbezaan itu adalah disebabkan oleh matlamat yang telah berbeza. Renungilah hakikat ini. Mungkin renungan itu nanti boleh mendinginkan sedikit suasana politik yang kian membahang ini…

DIRGAHAYU TUANKU

Sistem beraja di Malaysia tidak dapat dinafikan hak dan kedaulatannya. Walau hampir keseluruhan corak di ukir oleh kepolitikan parti pelbagai di Malaysia.

Seperti kes di negeri darul ridzuan kesayangku, keputusan terletak kepada Sultan dan sekali lagi Sultan yang terkenal dengan prinsip dan bijaknya mempertahan keadilan dalam pembentukan kerajaan. Lalu biarkan dan hormatilah keputusan raja dan jangan sesekali memandai-mandai dengan keputusan sendiri.

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa- selagi mana mereka taat kepada Allah dan Rasul. Jika mereka tidak lagi taat kepada Allah dan Rasul maka tidaklah kamu perlu taat kepada mereka) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

Surah An-Nisa’; 59

Oh saya tidak mahu mengulas ini lanjut.

JAGA ANAK BANGSA KITA

Apapun saya memandang semua pihak memainkan peranan dalam menjaga anak bangsa kita.

Setiap kamu ini bertindak sebagai penjaga-penjaga penjuru agamamu

Hadith yang saya tidak tahu perawi dan sanadnya itu sangat terkesan dihati saya. Saat Kak E menyebut dalam usrahnya saya terfikir akan walau sekecil mana usaha kita, maka itu bermakna kita tetap menjaga  bahagian penjuru yang di amanahkan kepada kita.

Penulis, pelukis, penyair, penyanyi, doktor, doktor falsafah, pemegang ijazah, diploma, sijil, nelayan hatta penyapu sampah sekalipun punya tugas dalam pembangunan bangsa dan anak bangsa dan agama Islam khasnya. Hanya perlu faham dengan membawa tugas kita dalam iringan syariat agama adalah terpenting dalam memacu akidah dan daulah agama.

Pasanglah kekuda kita semua dalam menggempur ‘musuh-musuh’ dalam perjuangan yang penghujungnya semakin hampir ini. Jangan sesekali merendah diri atau merendahkan usaha orang lain kerana setiap usaha itu pasti punya impak yang besar jika agama  dijadikan sebagai tunjang perjuangannya.

Jangan kau meperlekehkan kebaikan saudaramu walaupun dengan sebuah senyuman kepada sahabatnya

Wallahua’am

p/s: Fenomena sinema politik perak kini diracuni agenda tersorok oleh pemain politik tanah air. Saya tidak menyalahkan atau menyokong sesiapa. Kerana saya tahu, saat ini ALLAH swt sebenarnya menguji keyakinan kita kepadaNYA, sejauh mana kita menerima qada’ dan qadar ALLAH tanpa sedikit pun mencalari aqidah dan akhlak kita. Dan tentunya menguji para pemimpin yang memegang tampuk pemerintahan kepada sejauh mana mereka berjuang kerana agama dan daulah Islam. Sejauh mana mujahadah manusia menuju mardhatillah. Saya anak jati perak, ibu ayah saya lahir di perak, datuk dan nenek saya membanting tulang di Perak, sudah cukup membuktikan bahawa kecintaan saya kepada negeri darul ridzuan ini terlalu besar. Lalu, saya gantungkan keyakinan keatas kesemua hakikat kepada pemilik sebenar tanah tumpah saya ini, ALLAH swt.

Dan saya hanya yakin kepada yang SATU ini! ALLAHuakbar, segalanya milik Mu

artikel asal tulisan saya di sini

FOKUS

Semenjak membuat pengajian melalui kajian ini, perkataan fokus itu acap kali ditempel disegenap pelusuk organ fizikal dan rohaniah saya. Minggu lalu saya menemani kak hidayah bermain bowling di ampang.

Main bowling, kita kene fokus1

Canang kak hidayah. Jelas fokus kak hidayah saat dia melontar bola walau terkadang longkang juga menjadi laluannya (hehe). Nah, sekali lagi bagai dilekat didahi saya perkataan fokus. Beberapa minggu lalu juga pensyarah mengarahkan saya fokus kepada thesis saya.

Awak tampak mahu meliberalkan Islam itu” tegas seorang professor selepas pembentangan saya.

Seakan pendekatan lain yang konvensional, international dan sudah pun popular itu dinafikan keberkesanannya dalam menyelesaikan masalah jenayah”

Tambahnya lagi. Terkulat-kulat saya dibuatnya. Ditampar perkataan ‘liberal’ itu amat menyakitkan. Mana mungkin saya berani-berani berfikir meliberalkan Islam, sedang saya tahu dan yakin Islam itu syumul dan universal. Gementar hati memerah terkulat-kulat saya menjadi sengihan panjang.

Erm sorry prof, but, I’m quite clear on what she’s trying to do. It is just that she have to re-organize her research structure in clear words and terms. And, she must clarify her focus2

Deputy Dean post graduate fakulti saya cuba mempertahan. Saya tersenyum.

Erm, saya mohon kemaafan jika wujud kesilapfahaman. Begini. Saya tidak sekali menafikan kewujudan sistem perlaksanaan dan undang-undang yang sediada ini membantu menyelesaikan mahupun mengurangkan masalah jenayah. Tetapi, sebagai muslim, saya berasa bertanggungjawab mengungkap syariah ALLAH dan sistem perlaksanaan dari perspektif Islam yang mampu menjadi salah satu pendekatan terbaik dalam mengungkap seterusnya menyelesaikan kes jenayah semasa. InsyaALLAH, i’ll make things clear after this

Saya mengakhiri sesi pembentangan dengan sedikit penerangan ‘lemah’ dari sudut saya sebagai muslim, bukan tujuan lain melainkan hanya sebagai tanggungjawab mengungkap khazanah Islam yang  lama terkambus dek kerana dasar mengagungkan system dan pendekatan barat oleh para pemikir Islam itu sendiri. Perkataan fokus itu saya tenggelamkan untuk sesi itu.

Semalam, adik saya di universiti Islam ulung di timur tengah bertanya saya tentang perkara yang sama. Bagaimana membina semangat yang semakin  lupus dan sirna akibat tekanan semasa.

fokus2.jpg

.f.o.k.u.s.

Ayat itu saya julang lagi dimata adik iema. Dan persoalannya bagaimana mahu membina dan istiqamah dengan fokus?

MEMBINA KHUSYUK DALAM SOLAT

Persoalan membina fokus sebenarnya sudah lama dijadikan sebagai pendekatan ruh oleh ALLAH swt. Kata ustazah saya, solat itu merupakan punca ilmu kedua selepas alquran dan hadith. Di dalam solat, bukan sahaja kita menimba ilmu, malah terus sahaja melakukan praktikal ke atas sesuatu ilmu.

Mendirikan solat bukan sekadar-sekadar sahaja, buat menjalani ibadah, tetapi untuk merasai intipati penuh nikmat solat, ialah perlunya khusyuk.

Khusyuk menifestasinya kita fokus kepada maklum ibadah kepada yang Satu. Bagaimana? Sering saja kekhusyukan itu kabur dan susah di capai malah mati saat solat. Penyebabnya nyata iaitu kerana fikiran masih lagi mengisar hal isi perut dunia.

Lalu disinilah resepi pesan ulama’ ulung Ibnu Atthailah AsSakandari yang ertinya;

Tidak ada yang dapat mengusir syahwat atau kecintaan dari kesenangan duniawi selain rasa takut kepada ALLAH yang menggetarkan hati, atau rasa rindu kepada ALLAH yang membuatkan hati merana.

Menuju khusyuk itu titiannya adalah fokus kepada Satu cinta yang layak untuk didambakan malah tidak juga pernah mengecewakan.

KEKUATAN SOLAT MALAM

Saya tidak lah sekuat mana dalam bertahajjud. Malah fokus ibadah tahajjud itu terkadang bersimpang siur kerana keterlewatan mengatur masa tidur dan bangun. Tetapi mengamalkan berpagi-pagian itu sungguh mencerna fokus pada kemuncak tinggi.

Pernah saya terbaca bahawa tiupan angin jam 4 pagi itu adalah terbaik berbanding angin-angin yang kita hirup setiap waktu. Sewaktu inilah angin memberi tindak balas yang terbaik kepada organ dan seterusnya mencergaskan otak dan minda kita.

Malah, ada suatu hadith yang menyatakan bahawa;

Kekuatan seorang itu terletak kepada solat tahajjudnya

Begitu juga terbukti saat membelek sirah Rasulullah saw yang mana digambarkan para sahabat itu seperti;

Ruhbanun fillail, wa fursanun finnahar yang bermakna, ibarat pendeta di malam hari dan satria di siang hari

Malah ALLAH swt sendiri sudah memberi gambaran malam sebagai waktu terbaik istirehat seterusnya menjana kekuatan dalam waktu singkat dengan ketenangan;

Dan karena rahmat-Nya, Dia jadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu beristirahat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari karunia-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.

(al-qashah, 73)

Ketenangan malam itu sebenarnya memberi ruang untuk manusia fokus kepada pembentukan diri tanpa gangguan. Melainkan gangguan dari perasaan kita sendiri. Menakut-nakutkan diri dengan bayangan pelbagai benda. Fokusnya entah yang apa-apa, sedang memang ada yang memerhati kita di malam hari, iaitu ALLAH swt dan para malaikatNya yang mengawal selia manusia. Yang halus itu tetap ada, tetapi ia halus. Seseorang yang besar hatinya mengingati Tuhan pasti tidak terjejad ibadahnya kerana perkara halus ini.

MEMBINA TITIK MULA DARI DHUHA

Saat fajar menjengah bumi, wisel dhuha berbunyi. Waktu ini pasti bumi dipenuhi mereka yang berpapasan ketempat kerja, kuliyyah mahupun untuk urusan apa sahaja. Namun waktu penamatnya sekitar 2 jam putaran. Lalu, amat beruntung mereka yang mahu menggunakan sedikit waktu untuk beribadah kepada ALLAH swt. Ya, kerja juga suatu ibadah.

Saya begitu tertarik dengan pihak pengurusan beberapa syarikat tempat kenalan saya bekerja yang merutinkan bacaan surah al-waqiah dan solat dhuha seawall sebelum waktu bekerja. Itulah kerja terawal mereka. Bukanlah meletakkan kepercayaan kepada kalam ALLAH swt itu mampu memberi rezeki, tetapi berusaha dan tahu bahawa dengan sedikit usaha pasti juga tetap dipandang ALLAH swt.

Permulaan solat dhuha keatas waktu kerja sebenarnya merupakan pembentukan suatu titik fokus untuk satu hari tersebut. Bermulanya sudah kita fokuskan sebagai pengibadahan kepada ALLAH swt, lalu setiap bebanan kerja atau pelajaran dipandang sebagai suatu amanah dan tanggungjawab dari ALLAH swt, lalu pasti kita mahu melakukan suatu yang terbaik buat meraih rezeki yang bukan sahaja lumayan, tetapi penuh keberkatan.

….

Dan banyak lagi pendekatan yang mampu membina titik fokus kecemerlangan dalam kehidupan. Dan  tiga faktor  ini menjadi pemangkin yang saya lihat mampu memberi impak besar kepada seseorang dalam menangani kehadiran pelbagai musuh kepada kecemerlangan seperti malas, tiada semangat dan bersahaja (sambil lewa) yang mana mampu meruntuh benteng dan mengaburi titik tumpu.

Mata mungkin kepenatan, minda menjadi kelelahan, semangat semakin kabut, hati jadi kalut, namun, jernihkan kembali dengan ibadah yang meruntun jiwa dengan mengingati Ilah. Lalu melembutkan tembok rasa dari permaianan nafsu yang menggugah.

Satu yang akak dapat dari tamrin sekarang, berdoalah dengan dengan nama-nama ALLAH, sebutlah nama-nama ALLAH dan letakkanlah pergantungan tertinggi itu pada ALLAH…” pesan ringkas kak hidayah lewat sms.

Ya, tamrin hari ini saya tidak dapat hadiri kerana ada aula’ lain buat minggu ini. Alhamdulillah, selepas membaca mesej itu, kabut-kabut kemalasan yang menarik ligat pelapik mata beransur pergi lalu menjadi diri segar bugar kembali. Kuyu anak mata menatap skrin laptop memancar sinar luar biasa.

Ya, rupanya fokus itu telah manusia zikirkan hariannya, konon buat mengukuh titik tumpu kepada sesuatu target atau perancangan. Walhal, harusnya fokus itu harus membulat pada tekad memasak hati, tetapi tetap zikir dengan menyebut zatNya itu adalah haq terbesar meniti dibibir dan hati seorang muslim. Ia intipati utama sebenarnya dalam membentuk jati dan kekuatan diri manusia.

Sedikit ini dahulu perkongsian, maaf atas kelemahan penulisan yang ekspres kerana waktu dan masa terus menjeling diri saya, ada fokus yang lebih aula’ yang punya titik tuju isnin ini. Doakan saya ya :) Dan untuk itu saya dahului dengan ucapan Terima kasih