Isteri Solehah Mengatasi Paras Rupa

Sabda Rasullah s.a.w:

“Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah.” – Riwayat Muslim, Kitaab al-Ridha.

Agama
merupakan faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga.
Namun, tidak ramai di kalangan umat manusia pada zaman ini yang
meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih
calon isteri. Ramai di kalangan kita yang masih tidak menyedari bahawa
faktor ini berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia dan
akhirat.

Wanita yang beragama sentiasa mentaati ALLAH dan
Rasul-NYA. Menjaga maruah diri dan ibu bapa, menundukkan pandangan di
hadapan lelaki yang bukan mahram, berusaha menuntut ilmu, memahami dan
mengamalkan apa yang difahaminya. Sentiasa bertaubat dan mendekatkan
diri kepada ALLAH dengan melakukan pelbagai amalan wajib dan sunat.

Wanita
yang terdidik dengan agama akan sentiasa memastikan dirinya bersih,
kemas dan cantik. Ini kerana agama memerintahkan dia melakukan
demikian. Semua itu dilakukan ikhlas kerana ALLAH berserta keyakinan
bahawa dia akan dibalas dengan pahala di sisi TUHANnya. 

Dia
sentiasa memelihara diri dan menutup aurat dari pandangan lelaki yang
bukan mahram. Percakapan yang lembut dan tepat seringkali menjadikan
dirinya disukai dan disayangi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya.
Masa yang terluang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah dan
demi kebaikan diri serta agama.

Mentaati Ibu Bapa

Kedua-dua ibu bapa ditaati dengan sepenuh hati
sebagai memenuhi perintah ALLAH agar berbuat baik kepada mereka dalam
perkara makruf. Dia tidak pernah meninggikan suara jauh sekali
menyakiti hati kedua-duanya. Ini bersesuaian dengan perintah ALLAH yang
berbunyi:

“Dan TUHANmu telah perintahkan supaya engkau tidak
menyembah melainkan pada-NYA semata-mata dan hendaklah engkau berbuat
baik terhadap ibu bapa. Jika salah seorang dari kedua-duanya atau
kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan-MU,
maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar)
sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking dan menyergah
mereka. Tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang
bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada
kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah
(mereka, dengan berkata): Wahai TUHANku, cucurilah rahmat kepada mereka
berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang dalam
memelihara dan mendidikku semasa kecil." – Surah al-Israak: 23 – 24.

Redha dan Syukur dengan Apa yang Ada

Harta benda bukanlah
matlamat utama hidupnya. Jika dia diberikan kekayaan, dia bersyukur dan
tidak sombong. Malah seboleh mungkin melakukan kebajikan dengan
bersedekah kepada yang kurang upaya. Sebaliknya jika dia ditakdirkan
miskin, dia juga bersyukur dan bersabar. Dirinya sentiasa sedar bahawa
di luar sana masih ramai yang diuji dengan kemiskinan yang lebih
dahsyat daripada apa yang dialaminya. Segala yang ditentukan oleh ALLAH
buat dirinya diterima dengan penuh redha. Yakin bahawa setiap sesuatu
yang telah ditentukan oleh ALLAH ke atasnya adalah baik untuk kehidupan
dunia dan agamanya.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sungguh
mengkagumkan sifat orang mukmin. Apa sahaja keadaannya pasti baik. Ia
tidak pernah dialami oleh sesiapa pun melainkan orang mukmin. Jika dia
senang, dia bersyukur dan ia baik untuk dirinya. Dan jika dia susah dia
bersabar dan itu baik untuk dirinya.” – Riwayat Muslim.

Dia juga
sentiasa mengikut teladan wanita-wanita pada zaman sahabat dan
salafussoleh. Mereka berjaya melahir dan mendidik generasi yang bijak
pandai. Antaranya, dengan mencontohi Fatimah binti Muhammad r.a yang
sabar menghadapi kemiskinan, mencontohi Ummul Mukminin Aisyah binti Abu
Bakar r.a dalam kebijaksanaan dan kecintaan kepada ilmu, mencontohi
Ummu Sulaim binti Milhan r.a dalam kecintaan dan kesetiaan kepada suami
dan kejayaan mendidik, mencontohi Asma bin Abu Bakar r.a dalam semangat
yang kental dan ketabahan menghadapi pelbagai ujian hidup.

Wanita Solehah Adalah untuk Lelaki Mukmin

Oleh itu, adalah tidak
wajar bagi seorang mukmin sejati melupakan kesemua ciri wanita solehah
ini dalam memilih pasangan lalu menilai semata-mata dari sudut paras
rupa yang menarik tetapi buruk akhlaknya. Ini amat merugikan suami dan
rumah tangga muslim yang bakal dibina.

Segala ciri di atas
menggambarkan betapa indahnya sifat wanita solehah. Dan alangkah
bahagianya lelaki yang memiliki hati wanita ini. Keindahan ini tidak
dapat ditandingi oleh mana-mana ratu cantik dunia. Sekalipun pada
pandangan manusia lain dia tidak memiliki paras yang cantik.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:

“(Kebiasaannya)
wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat.
Lelaki-lelaki yang jahat juga adalah untuk wanita-wanita yang jahat.
Dan sebaliknya wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang
baik serta lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang
baik.” – Surah al-Nur: 26.

Walau bagaimanapun, ini
bukanlah bermakna agama melarang sama sekali seseorang itu memilih
calon isteri yang cantik paras rupanya. Tiada siapa menafikan bahawa
paras rupa yang menarik boleh menambahkan lagi keinginan seorang lelaki
untuk menikahi seorang wanita. Ini merupakan fitrah dan diperakui oleh
agama.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Apabila salah seorang
kamu meminang seorang wanita sekiranya dia dapat melihat wanita itu,
dia hendaklah melihatnya agar bertambah keinginannya untuk berkahwin.”
– Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Bazzar. Disahihkan oleh al-Hakim dan
Ibn Hibban.

Juga berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:

“Wanita
itu dinikahi kerana empat perkara. Kerana hartanya, keturunannya,
kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, pilihlah yang beragama nescaya
kamu akan beruntung.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Paras Rupa Bukanlah Segala-galanya

Namun, apa yang dilarang
ialah sikap seorang lelaki mukmin yang mengabaikan pemilihan isteri
dari sudut agama kerana mengutamakan rupa paras. Sehinggakan sanggup
memilih wanita yang tidak berakhlak semata-mata kerana kecantikannya.
Dan mengabaikan wanita mukminah lain yang lebih baik dari segi akhlak.

Ini
bersesuaian dengan firman ALLAH yang menyebut bahawa seorang hamba
perempuan yang beriman itu lebih baik untuk dijadikan pasangan hidup
berbanding wanita musyrik. Walaupun rupa paras wanita musyrik itu lebih
menawan hati lelaki mukmin.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:

"Sesungguhnya
seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan
kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu." – Surah
al-Baqarah: 221.

Isteri Adalah Pemimpin di Rumah Suami

Wanita
yang beragama berupaya mendidik anak-anaknya dengan sempurna. Dia tahu
dan sedar bahawa dirinya adalah ketua di rumah suaminya.
Bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak diberikan didikan agama
yang secukupnya. Oleh itu, dia sentiasa memastikan anak-anaknya
membesar dengan sempurna dari segi rohani dan jasmani. Jadi, suami yang
meninggalkan anak-anaknya bersama isteri kerana mencari rezeki tidak
akan bimbang kerana dia sedar bahawa isteri solehah lagi beragama yang
dipilihnya itu berupaya menjaga dan mendidik anaknya dengan amanah
sepanjang ketiadaannya di rumah.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Setiap
kamu adalah pemimpin dan setiap orang akan ditanya terhadap apa yang
dipimpinnya. Seorang imam adalah pemimpin dan akan ditanya terhadap apa
yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan akan
ditanya tentang apa yang dipimpinnya. Wanita adalah pemimpin di rumah
suaminya dan akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Setiap
seorang kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang apa yang
dipimpinnya.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Paling baik ialah
memilih wanita yang mempunyai kedua-dua ciri yang dinyatakan di atas,
iaitu cantik dan beragama. Perlulah berupaya menjaga maruah diri dan
suami, menggembirakan hati suami, membina keluarga Islam yang harmoni
dan membimbing keluarga menuju ALLAH. Namun, jika seorang lelaki berada
dalam keadaan di mana dia perlu memilih salah satu daripada di atas,
dia hendaklah mengutamakan agama.

Mendidik Isteri Tentang Agama

Mungkin ada di kalangan muslimin
yang mengatakan bahawa dia berupaya memberikan didikan agama yang
secukupnya kepada bakal isterinya kelak setelah berumah tangga. Lalu
memandang remeh usaha mencari wanita yang beragama sebagai calon
isteri. Tetapi, tidak ramai yang sedar bahawa bukan mudah mendidik
isteri tentang agama dari mula sehingga dia benar-benar faham agama
keseluruhannya. Usaha mendidik anak mungkin terbantut kerana isteri itu
sendiri masih belum mendalaminya. Ini merumitkan lagi tugas suami
kerana terpaksa menghabiskan tenaga yang banyak dalam mencari nafkah,
mendidik isteri dan memastikan anak-anak membesar dengan agama yang
sempurna.

Sebaliknya, isteri yang telah pun faham dan
mengamalkan tuntutan agama dengan baik akan memudahkan tugas suami.
Bukan sahaja meringankan beban suami dengan memberikan pelbagai
pandangan yang bernas untuk kebaikan rumah tangga, malah anak-anak juga
membesar dengan didikan agama yang sempurna. Dan suami tadi tidak perlu
lagi memikirkan cara mendidik isteri kerana dia sendiri telah pun faham
segala tuntutan agama lalu menerapkannya kepada anak-anak dan rumah
tangga.

Paras Rupa, Harta Benda dan Kedudukan Tidak Kekal

Kecantikan
paras rupa, harta benda dan darjat keturunan tidak akan berkekalan.
Namun, kebaikan dan akhlak yang mulia akan kekal selagi hayat dikandung
badan. Sehinggalah ia membawa pelakunya ke syurga.

Antara
kelebihan wanita solehah ialah akan sentiasa menghiburkan hati suami,
redha dan menghargai pemberian suami serta sanggup bersama suami sama
ada ketika susah mahupun senang. Ini kerana, agama menuntut dia
melakukan demikian.

Sabda Rasululah s.a.w:

“Tidak boleh
bagi seorang manusia bersujud kepada manusia lain. Sekiranya perbuatan
sujud seorang manusia kepada manusia lain ini baik, nescaya aku akan
perintahkan wanita sujud kepada suaminya kerana hak suami ke atasnya
terlalu besar.” – Hadis tsabit riwayat Ahmad dan al-Bazzar.

Sebuah riwayat menceritakan:

“Seorang
wanita datang kepada Rasulullah s.a.w kerana hajat tertentu. Apabila
selesai, Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah kamu mempunyai suami? Dia
menjawab: Ya. Sabda baginda: Bagaimanakah kamu dengan dia? Dia
menjawab: Aku tidak melalaikan haknya melainkan jika melibatkan apa
yang tidak mampu kulakukan. Sabda baginda: Kamu perlu lihat keadaan
kamu daripadanya. Sesungguhnya dia adalah syurga dan neraka kamu.” –
Riwayat Ahmad dan al-Nasaai dengan sanad yang baik.

Wanita
solehah memahami hak suami. Dia berusaha menunaikan semua hak itu
semata-mata kerana mengharapkan redha ALLAH. Apa sahaja masalah rumah
tangga yang dihadapinya akan ditangani secara baik dan terbuka. Dia
juga bersedia menerima segala sikap baik dan buruk suami. Serta memohon
petunjuk ALLAH agar dipermudahkan segala masalah yang dihadapinya
ketika melayari hidup berumah tangga. Dia tidak akan sekali-kali
membuka rahsia suami kepada orang lain terutamanya yang melibatkan
rahsia di tempat tidur mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya
seburuk-buruk kedudukan manusia di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah
seorang lelaki yang mendatangi isterinya dan isteri yang mendatanginya,
lalu salah seorang mereka mendedahkan rahsia pasangannya.” – Riwayat
Muslim.   

Mereka sentiasa gembira dan ikhlas menjalankan tugas
sebagai isteri semata-mata kerana ALLAH dan yakin terhadap sabda
Rasulullah s.a.w bahawa seorang wanita yang melakukan solat lima waktu,
puasa Ramadan, menjaga kemaluan dan mentaati suami, dia boleh masuk
syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya. (Hadis sahih riwayat
Ahmad dan al-Tobrani).

Oleh itu, segala perintah agama
dilaksanakan sepenuh hati semata-mata kerana ALLAH. Muslimah yang baik
sentiasa memahami bahawa ketaatan yang diberikan kepada suami adalah
sebagai melaksanakan perintah ALLAH. Setelah itu dia akan diberikan
pahala yang tidak terhingga banyaknya. Keengganannya berbuat demikian
mengundang laknat dan kemurkaan ALLAH.

Tidak Menolak Permintaan Suami

Wanita solehah tidak akan
sekali-kali mengabaikan permintaan suaminya di tempat tidur. Dia
sentasa berwaspada terhadap sabda Rasulullah s.a.w yang menyebut:

“Demi
yang jiwaku di tangan-NYA, mana-mana suami yang memanggil isteri di
tempat tidur, lalu isteri itu enggan memenuhinya, maka segala yang ada
di langit dan bumi akan murka terhadapnya sehinggalah suaminya redha
kepadanya.” – Riwayat Muslim.

Dia juga memahami bahawa
permintaan suaminya itu wajib dipenuhi segera dan tidak boleh
ditangguhkan walaupun ketika itu dia sedang sibuk di dapur atau berada
di atas kenderaan.

Permintaan yang ditunaikan itu dapat menjaga
dan membantu suaminya menghindari segala bisikan dan runtunan syahwat
yang  melanda fikirannya. Dan menenangkan jiwa suaminya. Dalam sebuah
hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Nabi s.a.w bersabda:

“Apabila
salah seorang kamu tertawan dengan seorang wanita dan hal itu berbekas
dalam hatinya, dia hendaklah segera mendapatkan isteri dan
menggaulinya. Sesungguhnya itu akan membuang segala perasaan yang ada
dalam dirinya.” - Riwayat Muslim.

Hal ini amat berbeza sekali
dengan wanita yang tidak memahami tuntutan agama. Mereka
sewenang-wenangnya menolak permintaan suami dan menganggap perbuatan
itu tidak mendatangkan sebarang dosa. Mereka sewenang-wenangnya memberi
alasan penat atau sebagainya. Amaran dan ancaman laknat ALLAH dan
malaikat terhadap perbuatan itu langsung tidak berbekas dalam hatinya.

Wanita
solehah yang memahami kewajipan itu akan berusaha sebaik mungkin
menjalankan tanggungjawabnya. Sepenat manapun, dia akan berusaha
menunaikan segala permintaan suami. Ini kerana, redha ALLAH kepadanya
terletak pada redha suami terhadap dirinya.

Menjaga Batas Pergaulan

Isteri
solehah sentiasa memelihara auratnya ketika berurusan dengan lelaki
yang bukan mahram. Cara percakapan dan akhlak sentiasa diawasi agar
tidak melanggar batasan syarak. Dia tidak bercakap melainkan perkara
yang baik. Jauh sekali mengumpat dan mengeji orang lain. Larangan
mengumpat, menghina dan mengejek orang lain yang dinyatakan dengan
jelas oleh al-Quran dan sunnah sentiasa terpahat dalam hatinya.

Isteri
solehah membimbing dan menasihati suami dalam melakukan apa yang
terbaik untuk agama dan rumah tangga. Juga memberikan pandangan yang
bernas terhadap dakwah dan kerjaya suami. Wanita pertama yang menjadi
contoh terbaik dalam hal ini ialah Khadijah binti Khuwailid, isteri
pertama Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan orang pertama yang beriman,
membenarkan, menyokong, berkoran jiwa dan raga serta sentiasa bersama
baginda di saat-saat sukar baginda dalam menyampaikan dakwah.

Segala
kebaikan, sokongan dan pengorbanan beliau ini mendapat pengiktirafan
dan penghargaan daripada ALLAH S.W.T. Sehinggakan ALLAH dan Jibril
berkirim salam kepada beliau dan menjanjikan sebuah mahligai untuknya
di syurga kelak. Hal itu adalah penghargaan ALLAH terhadap segala
kebaikan, layanan dan pengorbanannya buat suami tercinta.

Abu Hurairah menceritakan ketika saat wahyu mula-mula turun di mana baginda selalu bertahannuts di Gua Hirak:

“Jibril
mendatangi Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah, ini Khadijah
telah mendatangimu. Bersamanya ada bekas yang berisi lauk, makanan atau
minuman. Apabila dia mendatangi kamu, maka sampaikanlah kepadanya salam
TUHANnya dan daripadaku dan berilah khabar gembira kepadanya tentang
sebuah mahligai di dalam syurga yang dibina daripada emas. Tidak ada
kesusahan dan keletihan di dalamnya.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Sentiasa Bersih dan Kemas

Wanita solehah telah dididik oleh
keluarga yang beragama. Dia cintakan ilmu pengetahuan dan sentiasa
bersedia menghadapi apa juga cabaran hidup. Dia akan sentiasa
menguruskan rumah tangga mengikut apa yang dipelajari dan dididik
kepadanya sejak kecil. Menjaga akidah, amal ibadah, solat, puasa dan
memastikan seluruh anggota keluarganya mentaati perintah agama. Dia
juga sentiasa berhias untuk suaminya dan memastikan dirinya sentiasa
kemas, bersih dan harum ketika berada di hadapan suami.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Antara
punca kebahagiaan anak Adam ialah memiliki isteri yang solehah, tempat
tinggal yang selesa dan kenderaan yang baik. Antara punca kecelakaan
anak Adam ialah isteri yang jahat, rumah yang tidak selesa dan
kenderaan yang tidak elok.” – Riwayat Ahmad melalui para perawi yang
sahih. 

Wanita solehah hanya berhias dan mempamirkan
kecantikannya hanya untuk suaminya. Dia tidak mempamerkan di hadapan
suami melainkan apa yang cantik dan wangi. Dalam sebuah riwayat
diceritakan:

“Rasulullah s.a.w ditanya tentang sebaik-baik
wanita. Baginda menjawab: Yang menyukakan kamu apabila memandangnya.
Apabila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu dengan baik dan menjaga
harta kamu.” – Riwayat Ahmad dan selainnya dan dihasankan oleh
al-Albani. 

Malang sekali ramai di kalangan wanita memandang
remeh perkara ini. Mereka salah faham lalu mempamerkan diri di hadapan
suami dalam keadaan kusut masai, berbau, pakaian compang-camping dan
sebagainya. Lebih buruk lagi ada yang hanya berkemban sepanjang berada
di rumah.

Sebaliknya apabila hendak keluar rumah, mereka berhias
secantik mungkin untuk dipamirkan kepada lelaki yang tidak berhak
melihatnya. Ini bukan sahaja tidak wajar, malah mengundang dosa besar
dan musibah terhadap keharmonian rumah tangga muslim.

Kesimpulan

Sebagai
kesimpulan, dalam memilih calon isteri, faktor agama perlulah dijadikan
matlamat utama. Jika itu yang dicari, sudah pasti suami akan mendapat
segala kebahagiaan dan ketengan di dunia ini sebelum menuju kepada
kebahagian yang kekal abadi di akhirat kelak.

Seorang suami
memerlukan pembantu yang solehah lagi bijaksana dalam melayari
kehidupan berumah tangga. Dengan ini tugas suami dalam memberikan
pendidikan yang sempurna kepada anak-anaknya menjadi lebih mudah. Dan
bahtera rumah tangganya dapat belayar dan berlabuh dengan aturan yang
betul dan diredhai ALLAH S.W.T.

sumber: http://halaqah.net/v10/index.php?topic=1314.0

0 Responses to “Isteri Solehah Mengatasi Paras Rupa”


  1. No Comments

Leave a Reply